22 February 2010

Hilang nilai kemanusiaan

Oleh Zuhayati Yazid

Manusia semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan akal dalam membuat sebarang tindakan.Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan daripada perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah.Sikap seperti itu yang mendorong kepada pelbagai gejala sosial termasuk buang bayi.

Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah A. Ghani menyifatkan, gejala pembuangan bayi ini berlaku adalah kerana kerapuhan pegangan agama remaja dan juga kekurangan perhatian serta pemantauan daripada ibu bapa.

"Apabila membincangkan masalah pembuangan bayi, ia turut memperlihatkan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan tahap keimanan seseorang itu.

"Malah ia seakan-akan tidak tahu hukum hakam mengenai dosa dan pahala,'' katanya serius ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian pembuangan bayi semakin menular di kalangan remaja kerana mereka terdedah kepada pelbagai faktor sehinggakan keadaan menjadi lebih parah.

"Antaranya kerana faktor pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, hiburan keterlaluan, persekitaran institusi kekeluargaan yang celaru, tiada kawalan diri, longgar pegangan agama serta pengaruh Internet,'' ujarnya lagi.

Malah keadaan menjadi lebih parah apabila kurang pemantauan dan juga perhatian ibu bapa terhadap aktiviti anak.

"Institusi keluarga itu penting dalam membentuk jati diri anak-anak, mana mungkin keluarga yang sering bergaduh serta berpecah belah akan melahirkan anak-anak yang bertamadun dan juga berakhlak mulia.

"Keadaan ini penting kerana karakter anak-anak bermula daripada rumah, jika suasana rumah yang celaru akan menimbulkan suasana tidak seronok berada di rumah.

"Bermula dari situ, mereka akan mencari identiti sendiri melalui keseronokan di luar rumah bersama rakan-rakan, apabila sudah hilang nilai moral mereka sanggup buat apa saja sehingga lahir anak luar nikah,'' terangnya lagi.

Beliau yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman pengurusan kaunseling keluarga memberitahu, faktor terlalu bebas dan kurang pemantauan juga membuatkan remaja mudah terjerumus kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

"Dunia tanpa sempadan dengan kemudahan komunikasi dan melayari internet membuka seluas-luas pergaulan mereka,'' katanya lagi

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Sajaratulnisah Othman pula menyifatkan remaja yang sanggup membuang bayi adalah mereka yang tertekan dan tersempit dengan keadaan.

Hal ini berlaku hasil perbuatan perhubungan terlarang itu sehinggakan mereka mengandung, keadaan ini menyebabkan mereka semakin tertekan sehingga sanggup membuang bayi yang di kandung ekoran tiada tempat yang sewajarnya untuk mereka berlindung.

Jelasnya, banyak kajian menunjukkan kehamilan di luar nikah berpunca daripada keseronokan hidup yang berpaksikan kepada kepuasan nafsu semata-mata.

Malah keadaan yang tertekan juga membuatkan mereka mengambil keputusan untuk membuang anak itu di merata-rata tempat.

Lebih menyedihkan lagi, kebanyakan bayi yang dibuang rata-ratanya adalah bangsa Melayu yang tentunya beragama Islam.

Sajaratulnisah memberitahu, mereka yang membuang anak itu juga seakan sudah tertanam di fikiran, sekiranya buang anak pastinya akan ada orang yang akan mengambil dan menjaga.

"Di negara kita, jika sesiapa yang menemui anak baru lahir akan ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat, fikiran ini menjadikan mereka dengan mudah melakukan tanpa rasa bersalah dan berdosa.

"Justeru itu, masyarakat perlu mengubah minda dengan lebih positif, seharusnya berikan mereka pendidikan agar kembali ke jalan benar.

"Pimpinlah mereka ini supaya tidak lagi tersasar ke jalan gelap, hiasilah mereka ini dengan ajaran agama supaya kembali ke jalan yang benar,'' katanya lagi.

Selain itu tegasnya lagi peranan ibu bapa juga harus diperketatkan lagi, biarpun sibuk bekerja mencari nafkah untuk keluarga namun tanggungjawab sebagai orang tua tidak harus di abaikan.

"Kenali rakan-rakan anak kita dan membuat pemantauan dengan siapa mereka berkawan agar dapat mencegah mereka daripada perbuatan yang tidak bermanfaat.


Sumber : www.utusan.com.my (22/2/10)

No comments:

Post a Comment