18 February 2010

Makna Disebalik Senyuman

Pelbagai takrifan dan maksud disebalik senyuman.Orang berniaga berkata senyuman itu membawa rezeki.Orang yang bercinta menyatakan senyuman itu mengambarkan mood bahagia.Orang yang jaga kaunter berpesan senyuman mereka untuk memudahkan urusan kerja.Sebaliknya orang yang tersenyum sorang-sorang adalah kategori angau atau gila bayang.Tetaapi bukan semua.Mungkin teringat perkara lucu,indah dan menawan suatu ketika dahulu.

Senyuman itu satu sedekah yang paling mudah.Bukan senyuman yang dibuat-buat.Bukan juga senyuman tersirat maksud disebaliknya.Ikhlasnya senyuman dapat terpancar melalui pandangan mata yang cukup membahagiakan.Maka senyuman begini layak untuk mendapat ganjaran pahala.Pasti orang yang menerima senyuman begini terasa bahagia sekali.Apatah lagi orang yang memberi senyuman merasakan getaran jiwa yang membahagiakan.Itu hebatnya senyuman anda yang ikhlas.

Bahasa komunikasi sejagat tanpa kamus adalah ukiran senyuman seseorang.Tidak kira siapa anda,warna kulit,agama,bangsa dan negara maka senyuman adalah komunikasi yang universal.Semua dapat memahami melainkan bukan makhluk bernama manusia.Cuma kadang kadang syaitan tersenyum dengan kita kerana tewas kepada godaan dan tipu dayanya.

Dalam masa yang kita tidak sedari ada juga senyuman menyindir.Orang yang suka menyindir melalui senyuman mempunyai hati yang kurang sihat.Perbetulkan hati baru dapat senyuman ikhlas.Untuk mendapat tahu orang yang menyindir kita dengan senyuman mudah sahaja.Cuba kita ceritakan kisah kita yang tidak mandi dua hari.Pakai selipar sebelah lain.Pakai baju terbalik.Salah masuk lorong atau sesat jalan.Andai kata mereka yang mendengar cerita kita ini tergelak besar dan senyuman memanjang.Adalah maknanya.Tugas kita maafkanlah mereka sebagai cara mengurangkan dosa tak sengnaja itu.

Senyuman memikat dan menggoda.Wah yang ini cukup sensitif.Berbahaya jika ada orang yang mempunyai senyuman menawan jiwa dan kalbu.Tidak kira status sama ada bujang atau dara,lelaki atau wanita.Muda remaja atau tua bangka.Kesan yang cukup hebat ini boleh menyebabkan jatuh cinta, gila bayang, cerai berai dan paling parah merana seumur hidup.Tidak dinafikan ramai mempunyai keistimewaan ini kerana paras rupa, penampilan,ketokohan dan secara semulajadi ada daya pemikat pada senyuman.Pada dasarnya kita boleh berlatih bagaimana untuk memberi senyuman jenis ini.Cuma dalam artikel ini belum lagi diterbitkan.Tunggu pada masa yang akan datang.

Pernah kita mendengar ada yang berkata tangisan dalam senyuman.Mengikut pengalaman perkara ini biasa berlaku kepada anak-anak kita yang berumur 5 tahun dan ke bawah.Dalam masa mereka bermain dengan adik beradik yang lain atau kawan-kawan sama baya bergaduh itu normal sehingga bertangisan.Tak lama selepas itu berbaik semula siap ketawa lagi.Sebenarnya ia bukanlah takrifan sebenar.Orang yang berada tangisan dalam senyuman ini ialah orang yang hidup susah tetapi tetap gagah menghadapi kesusahanya dengan tenang.Raut wajahnya biasa malah sentiasa tersenyum seolah-olah masalah itu satu jenaka baginya.Biar berat sekalipun tanggungan senyumannya adalah penawar.Pengubat hati ketika lara.Penawar jiwa ketika duka.Hebatnya erti senyuman kepada seseorang.

Cukup setakat ini dahulu maksud disebalik senyuman.Mudah-mudahan anda tidak memberi senyuman menyindir kepada saya atas olahan kata dan susunan tatabahasa yang kurang mengkagumkan.Seandainya ada juga saya maafkan kerana saya tahu siapa saya dengan ilmu sejemput dan pengalaman sekangkang kera.Kesian kera di hutan.Anak di rumah jangan lupa diberi susu.

Akhir kata jumpa lagi dan selamat membaca.

Ikhlas tapi jauh,

hanafi abdullah