20 February 2010

Aspek 1Malaysia Yang Dibanggai Penduduk Sarawak

Jumaat Februari 19, 2010 (http://mstar.com.my)


HUBUNGAN harmoni dalam kalangan lebih 20 kumpulan etnik di Sarawak merupakan sesuatu yang semula jadi dan bukannya luar biasa.

"Ini merupakan aspek 1Malaysia yang kami di Sarawak sangat banggakan... kami telah mengamalkan konsep 1Malaysia sejak dulu lagi, cuma kini ia menjadi dasarn rasmi," kata bekas setiausaha negeri Sarawak Tan Sri Bujang Mohd Nor, 74.

Bujang berkata demikian sebagai anggota panel pada majlis dialog bertemakan "Bicara Tokoh: Menyingkap Sejarah Perjuangan Ke Arah Pembangunan Belia di Sarawak" anjuran Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) di Kuching, baru-baru ini.

Bujang bersama seorang lagi anggota panel, ahli politik veteran Bidayuh Datuk Seri Dominic Dagok Randan, 75, merupakan antara tiga penduduk Sarawak yang menerima penghargaan semasa sambutan Hari Malaysia di Kuching tahun lepas kerana sumbangan mereka kepada negara.

Penerima ketiga ialah anggota wanita pertama Majlis Negeri Sarawak, Datuk Seri Philomena Tra Zehnder. Bujang dan Dagok meluahkan pendapat masing-masing mengenai bagaimana kumpulan-kumpulan etnik di Sarawak telah bersatu dalam mengatasi tentangan terhadap gagasan Malaysia dan bagaimana mereka maju bersama sejak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia.

KONFRONTASI: SATU DUGAAN

Terbabit dalam politik sejak pembentukan Malaysia, Dagok menyatakan rasa puas hatinya terhadap pembangunan yang dikecapi masyarakat Dayak Sarawak, khasnya masyarakat Bidayuh sejak 46 tahun yang lepas.

Dagok berkata hakikat ini menangkis dakwaan yang penyertaan Sarawak ke dalam Malaysia merupakan satu pengkhianatan oleh pihak British yang mengetahui negeri itu masih belum bersedia untuk mencapai kemerdekaan.

"Kami melalui saluran yang betul dan mengadakan rundingan, perbincangan dan mesyuarat. Kami akur dengan hasrat majoriti," katanya, dan menambah kata berdasarkan kepada penemuan daripada pungutan suara yang diketuai oleh Lord Cobbold, 70 peratus penduduk negeri ini bersetuju dengan gagasan Malaysia.

Sarawak menyertai Malaysia bersama dengan Sabah (kedua-duanya pada masa itu dikenali sebagai British North Borneo) dan Singapura hasil cadangan Ketua Menteri Malaya Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Bagaimanapun, Singapura meninggalkan persekutuan itu dua tahun kemudian.

Ketika Malaysia terbentuk pada 16 September 1963 atas sokongan penduduk Sabah dan Sarawak, Indonesia di bawah pimpinan Presiden Sukarno menentang dengan sekeras-kerasnya gagasan itu dan melancarkan Konfrontasi.

Terdapat banyak teori di sebalik konfrontasi itu termasuk Indonesia mempunyai gagasan tersendiri iaitu Indonesia Raya yang turut meliputi Malaysia tetapi Dagok berkata: "Mengapa perlu bimbang mengenai kami, kami boleh menentukan haluan kami sendiri."

Dagok berkata satu ketika pada kemuncak konfrontasi iaitu antara 1963-1966, beliau membantu penduduk kampung di sempadan Sarawak-Kalimantan untuk menggali lubang bagi dijadikan tempat bersembunyi apabila tentera Indonesia menceroboh masuk.

Pada masa itu Dagok merupakan anggota Parlimen Serian dan juga anggota Majlis Negeri bagi Tebakang dan diberi tugas menyelaraskan operasi keselamatan bersama pasukan tentera dan polis di kawasan sempadan.

SARAWAK TURUT SERTA SECARA SUKARELA

Pada awalnya majoriti penduduk Sarawak was-was dengan gagasan ini kerana mereka berpendapat ia mungkin satu lagi bentuk penjajahan dan ini mencetuskan demonstrasi di bandar-bandar besar seperti Kuching, Sibu, Miri, malah Simanggang, yang kini dikenali sebagai Sri Aman.

Bagaimanapun, Sarawak akhirnya bersetuju untuk menyertai gagasan itu tetapi dengan syarat tertentu yang kekal sehingga hari ini.

Sarawak mengekalkan hak terhadap kawalan imigresen walaupun ia merupakan bidang kuasa persekutuan dan juga pelaksanaan dasar yang berkaitan dengan tanah dan hutan sementara perkhidmatan awam negeri juga berfungsi dengan bebas, kata Bujang, yang juga merupakan warga korporat.

PENDUDUK SARAWAK TIDAK KESAL

Berbanding zaman sebelum kemerdekaan menerusi Malaysia, katanya, penyertaan di dalam Malaysia telah mengubah nasib penduduk Sarawak dengan ramai anggota masyarakat Dayak kini berkhidmat sebagai profesional dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta di dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Dagok, seorang daripada perintis Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) menggulung debat itu dengan kenyataan ini: "Saya gembira melihat kaum Dayak kini berdiri sama tinggi setaraf dengan mereka yang lain... inilah konsep 1Malaysia". - BERNAMA

Anak terlalu rindu mohon bapa pulang ke pangkuan


February 19, 2010, Friday-ihsan Utusan Borneo

ALOR SETAR: Setiap kali Siti Intan Nur Atika ditanya mengenai ayahnya, Mohammad Kamal Hussain, 46, dia akan menangis.

DIMANA AYAH?: Seorang anak Siti Intan Nur Atika, 18, menunjukkan gambar ayahnya yang tidak pulang ketika menemui wakil Bernama di Alor Setar, semalam. Turut sama ibunya, Rogayah Mohktar (kiri). — Gambar Bernama
Ini kerana gadis berusia 18 tahun itu tidak tahu apa jawapan yang patut diberikan kerana dia tidak pernah menatap wajah ayahnya sejak 15 tahun yang lepas setelah Mohammad Kamal meninggalkan rumah untuk keluar bekerja.

“Walaupun saya tidak pernah mengenali ayah saya secara dekat, tetapi perasaan rindu tidak pernah padam. Malah saya amat terharu melihat kawan-kawan saya mempunyai ayah,” katanya sambil menitiskan air mata.

Ketika bercakap kepada pemberita sambil memegang gambar ayahnya, Siti Intan Nur Atika berkata beliau berharap sangat agar

ayah balik semula ke pangkuan keluarga kerana dia mahu mengenalinya.

Ibunya, Rogayah Mokhtar, 50, berkata selepas Mohammad Kamal keluar bekerja di Ipoh lebih 15 tahun yang lepas, dia tidak pernah pulang atau menghubunginya.

Katanya semasa suaminya, yang bekerja dengan syarikat mengendalikan panggung wayang, keluar bekerja, mereka masih menetap di Kuala Lumpur.

“Hubungan kami sekeluarga tidak ada masalah, malah sangat baik,” kata Rogayah.

Katanya selepas menyedari suaminya tidak pulang ke Bernamarumah, dia cuba mencari suaminya di merata tempat tetapi usahanya tidak berhasil.

“Boleh dikatakan seluruh negeri di Malaysia saya pergi mencari suami tetapi semuanya sia-sia,” kata Rogayah.

Terbaru ialah sebelum Tahun Baru Cina baru-baru ini apabila beliau dan kakak iparnya, Rodziani Ismail, 55, pergi ke Melaka kerana mendapat tahu Mohammad Kamal menetap di sana.

Mereka mendapat maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara bahawa alamat terakhir Mohammad Kamal adalah di Bandar Hilir Melaka tetapi ketika berkunjung ke alamat yang diberikan, mereka mendapati rumah itu didiami oleh orang lain dan keluarga itu tidak mengenali Kamal. Beliau berharap jika ada sesiapa yang mengenali atau pernah terlihat Mohammad Kamal supaya menghubungi Rogayah menerusi telefon 019-3300681 atau Abdul Rahim (abang Mohammad Kamal) menerusi talian 013-4521403. — Bernama

Najib terharu sokongan padu peminat Facebook

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak gembira dan terharu melihat sambutan orang ramai terhadap laman sosial Facebooknya yang setakat ini mencatat hampir 102,000 peminat atau pertambahan purata 1ebih 1,000 orang sehari.

Perdana Menteri berharap keadaan itu akan berterusan.

Sumber: http://www.kosmo.com.my (20-2-2010)

Rizab BNM RM322.1 bilion

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia turun sedikit kepada RM322.1 bilion (AS$96.9 bilion) pada 12 Februari daripada RM332.2 bilion (AS$97 bilion) pada 29 Januari.

Paras rizab itu memadai untuk membiayai 9 bulan import tertangguh dan 4.1 kali hutang luar negeri jangka pendek, kata Bank Pusat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Rizab antarabangsa kasar terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$87.3 bilion), kedudukan Rizab IMF (AS$400 juta), hak pengeluaran khas (AS$2.1 bilion), emas (AS$1.3 bilion) dan aset rizab lain (AS$5.8 bilion).

Aset dan liabiliti Bank Negara berjumlah RM363.953 bilion.

Selain daripada rizab antarabangsa, aset-aset lain termasuk kertas kerajaan Malaysia (RM2.683 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM9.544 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM12.454 bilion) dan aset-aset lain (RM7.177 bilion). - Bernama

Sumber Utusan Online: 20-2-10