21 February 2010

Awasi cuaca panas



Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my



CUACA panas dan kering yang melanda negara sejak awal tahun ini dilaporkan bakal menjadi lebih terik apabila kedudukan fenomena matahari berada tegak di garisan Khatulistiwa dengan tempoh siang dan malam di hemisfera selatan serta utara hampir sama berlaku pada 21 Mac ini.

Keadaan panas itu menyebabkan keadaan terik baik di utara tanah air manakala di beberapa kawasan di Johor menyaksikan catuan air akibat paras air sungai yang merosot.

Apapun, anda perlu berhati-hati dengan keadaan cuaca panas melampau ini yang boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan andai tidak membuat persiapan menghadapinya.



Bagi sesetengah orang terutama yang berada dalam kumpulan berisiko seperti warga tua, bayi dan kanak-kanak selain mereka yang berhadapan dengan masalah jantung dan tekanan darah tinggi, cuaca panas melampau boleh membawa kepada komplikasi kesihatan lain.

Antara risiko cuaca panas melampau adalah masalah dehidrasi iaitu kehilangan air daripada tubuh juga mineral lain dalam darah seperti potassium dan sodium yang berperanan dalam fungsi organ iaitu ginjal, otak dan jantung.

Malah ramai yang tidak tahu, masalah kehilangan air atau dehidrasi juga boleh menyebabkan kekeliruan, kelesuan selain menjejaskan pernafasan dan denyut nadi.

Dalam keadaan normal, peluh yang terhasil apabila kita panas membantu menyejukkan tubuh apabila ia tersejat di permukaan kulit. Bagaimanapun, jika hari terlalu panas, terlalu berpeluh akan menyebabkan sistem ini gagal. Suhu tubuh berpotensi meningkat ke tahap yang bahaya.

Ia boleh menjadi punca berlakunya keletihan atau kepanasan melampau. Malah boleh menyebabkan sakit kepala, pening dan kejang otot.

Bagaimana untuk mengelakkan masalah ini?

1) Minum banyak air

Disebabkan anda kehilangan air dalam tubuh, anda juga perlu menggantikannya semula. Dalam keadaan biasa, seseorang yang memiliki berat badan 58 kilogram sepatutnya meminum lapan gelas air sehari. Iaitu berdasarkan peraturan biasa, untuk setiap 0.9 kilogram berat badan, anda memerlukan 28.4ml air.

Bagaimanapun, dalam cuaca yang panas, pengambilan air patut ditingkatkan. Sebaiknya nikmati air suam atau mungkin jus buah-buahan tetapi bukan minuman berkarbonat. Minuman berkarbonat atau alkohol hanya akan membuatkan anda kehilangan lebih banyak cecair dalam badan. Minuman ais juga sepatutnya dielakkan kerana ia boleh menyebabkan kekejangan pada perut.

2) Ubahsuai diet anda

Elakkan makanan pedas atau berat. Makanlah makanan sejuk terutama salad atau buah-buahan yang mengandungi kandungan air yang tinggi.

3) Rasional dalam melakukan senaman

Jangan bersenam atau beriadah pada waktu petang yang panas. Anda mungkin boleh memilih waktu lain yang lebih sesuai.

4) Pilih pakaian yang sesuai

Pastikan anda memakai baju dengan warna-warna terang, longgar dan diperbuat daripada kain kapas. Baju berwarna gelap menyerap haba.

5) Elakkan perangkap haba

Parkir kereta anda di kawasan yang tertutup. Kalau boleh berada dalam kawasan berhawa dingin. Jika perlu keluar dari pejabat atau rumah, pastikan anda sentiasa membawa air.

Fakta
Kesan haba panas pada tubuh



20 darjah Celcius - selesa, denyut nadi normal.


25 darjah Celsius - peluh biasa.


30 darjah Celsius - Ketidakselesaan.


40 darjah Celsius - Kepanasan melampau, berpeluh, denyut nadi pantas, letih.


45 darjah Celsius - Kepanasan melampau, peluh terhenti, panas dan kulit kering.

Laman jaringan sosial mampu jadi pemangkin perubahan

Oleh Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my

Kerajaan, pemimpin dan ahli politik perlu manfaat alam siber untuk kekal relevan

KEPADA mereka yang kurang tahu, laman Facebook adalah contoh fenomena jalinan media sosial yang terhasil daripada teknologi internet. Seseorang mendaftar menjadi ahli Facebook, dengan mengisi butir diri, betul atau tidak, tiada siapa yang akan periksa dan meletakkan gambar ataupun video.

Ahli Facebook mengemaskini laman mereka dengan butiran terkini mengenai diri mereka serta menyatakan pendapat mereka dan segala yang mereka suka atau tidak.



Setiap ahli Facebook boleh meminta untuk menjadi 'kawan' ahli facebook yang lain. Lebih banyak kawan, mungkin lebih popular agaknya seseorang ahli Facebook. Baru-baru ini ada dilaporkan Perdana Menteri mempunyai lebih 100,000 'kawan' di laman Facebook beliau.

Berdasarkan statistik terbaru, ada lebih 350 juta ahli Facebook di dunia - kalaulah Facebook sebuah negara, maka ia adalah negara keempat terbesar di dunia.

Lebih menarik lagi, di Malaysia terdapat 4.2 juta ahli Facebook, iaitu kesembilan paling ramai di dunia, di mana nombor satu ialah Amerika Syarikat.

Apa yang penting yang perlu diambil tahu ialah pengaruh yang luas oleh Facebook dan laman media sosial lain. Juga perlu diingat bukan semua yang di internet itu tidak baik. Cuma apabila kita tidak memahaminya, maka kita akan bimbang dan ragu.

Satu lagi yang perlu diingati, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghalang atau mengawal internet. Sebarang cubaan akan membawa kesan lebih negatif daripada baik.

Kini terdapat beratus-ratus laman umpama Facebook, antara yang terkenal Friendster dan Myspace. Satu lagi statistik yang menarik - menurut beberapa laporan, hampir dua pertiga rakyat Malaysia adalah ahli salah satu daripada ratusan jalinan sosial media.

Jelas, ini bukan fenomena kecil atau boleh diremeh-temehkan. Malah tahun ini dikatakan sebagai tahun media sosial di mana akan ada ledakan fenomena ini. Di Malaysia saja pertumbuhan keahlian Facebook, umpamanya, bertambah 10 peratus atau lebih 300,000 pada Disember lalu.

Baru-baru ini juga Timbalan Perdana Menteri juga melancarkan laman Facebooknya.

Apakah maksud semua ini? Apakah penting dan relevannya kesemua ini untuk hidup kita?

Ada orang kata aktiviti media sosial kurang bernas. Sememangnya ia boleh merugikan, seperti juga perkara lain, jika dilakukan berlebihan. Sudah tentulah kita boleh terlebih makan atau bersuka atau mengemaskini laman Facebook kita, maka ia memanglah memudaratkan, tetapi itu tidak menjadi sebab kita tidak boleh bersuka-ria.

Ahli seramai lebih empat juta, umpamanya adalah lebih daripada mana-mana parti politik di negara ini. Walaupun jika separuh daripada mereka tidak aktif, jumlah yang berada di alam siber itu adalah cukup banyak dan memberikan banyak peluang dan kemungkinan.

Rasanya ledakan yang dikatakan itu ialah di mana fenomena ini berjaya menguasai bidang sosial, ekonomi dan politik. Siapa sangka mainan pelajar sedekad lalu kini menjadi pemangkin perubahan.

Dikatakan kempen politik Presiden Amerika Syarikat yang lalu dimenangi oleh calon yang faham dengan kuasa dan pengaruh jalinan media sosial, dan seterusnya menggunakannya untuk membantu di dalam kempen.

Presiden Barack Obama menggunakan teknologi ini dengan sepenuhnya dan berjaya menyampaikan mesejnya kepada golongan muda yang tidak lagi cenderung dengan media arus perdana. Beliau juga berjaya memahami teknologi ini untuk menentukan segala mesej dan matlamat kempennya tidak lagi ditentukan dan ditapis oleh pemberita dan pengarang, malah adakalanya beliau terus langsung tidak menggunakan media arus perdana untuk sesetengah strategi kempen.

Jelas dia berjaya, manakala lawannya yang tidak menerima media sosial secara menyeluruh, tidak.

Kekuatan utama laman seperti Facebook ialah pengaruh kawan-kawan. Contohnya, jika kawan kita berkata dia suka sesuatu filem, kita mungkin lebih percaya untuk membeli tiket, berbanding kata-kata iklan ataupun pengkritik. Kita lebih percaya jika kawan kita kata ada gerai yang menjual nasi lemak sedap yang perlu kita kunjungi, berbanding jika orang tidak dikenali berkata demikian.

Maka jika seorang rakan alam maya kita berkata dia percayakan Obama, jelas kata-kata ini akan menyerap ke jutaan, malah mungkin puluhan juta rakan yang terangkai dalam jalinan yang luas meliputi dunia. Sedikit sebanyak ada yang akan terpengaruh.

Jika seseorang itu berkata ia menyokong sesuatu parti atau seseorang calon, besar kemungkinan dia akan dapat mempengaruhi kawannya lebih lagi daripada berjela-jela laporan media arus perdana. Maklumlah 'kawan' kita mesti bercakap betul.

Mungkin sebagai media arus perdana ini bukan satu perkembangan yang baik, namun sesuatu organisasi yang dinamik perlu melihat bagaimana ia boleh kekal di dalam keadaan yang mencabar.

Untuk media arus perdana kekal relevan, ia mesti memahami serta mendakap fenomena ini. Begitu juga kerajaan, pemimpin dan ahli politik.

Fenomena jalinan media sosial kini sudah lama dikenali oleh pakar pemasaran sebagai satu alat yang amat berguna untuk kerja mereka. Begitu juga perlulah parti politik dan pemimpin mereka menerima, memahami dan menggunakan media sosial untuk kekal relevan.

Satu lagi statistik yang menarik - lebih 80 peratus ahli Facebook pula berumur antara 18 hingga 44 tahun. Jelas jika mahu berinteraksi dengan golongan muda, haruslah pergi di mana mereka berkumpul.

Sumber: www.bharian.com.my(21/2/10)

Firaun kaya penyakit




IMAGINASI kita mungkin membayangkan raja Mesir purbakala itu sempurna fizikal, gagah dan memiliki wajah yang tampan.

Namun, gambaran itu sangat berbeza pada salah seorang firaun paling terkenal, Tutankhamun yang lebih dikenali dengan gelaran Raja Tut.

Itulah yang berjaya dibongkar oleh sekumpulan saintis baru-baru ini.

Berasaskan kajian asid deoksiribonukleik (DNA) dan imbasan tomografi berkomputer (CT) selama dua tahun, nyatalah imej remaja lelaki yang menawan pada artifak Raja Tut jauh berbeza daripada jasad sebenar yang tersemadi.

Raja Tut terpaksa berdiri menggunakan tongkat kerana kakinya bengkok manakala bibirnya didapati sumbing.

Penemuan 130 batang tongkat di tempat persemadiannya membuktikan masalah kakinya itu.

Kaki bengkok

Bahkan cerita dia mati dibunuh kerana terdapat lubang pada tengkoraknya adalah tidak tepat. Dia sebenarnya mati akibat penyakit malaria yang telah melumpuhkan sistem imunisasi tubuhnya.

Raja Tut mula popular selepas mumia berusia 3,300 tahun itu ditemui pada tahun 1922 dengan limpahan barang kemas dan artifak, termasuk topeng emas di sisinya.

Raja Tut menjadi firaun ketika berusia 10 tahun pada 1333 Sebelum Masihi dan hanya sempat memerintah selama sembilan tahun sebelum meninggal dunia pada usia 19 tahun.

Lebih memeranjatkan, saintis mendapati sebahagian penyakit yang dihidapi Raja Tut merupakan penyakit keturunan.

Bapanya, Akhenaten sumbing bibir manakala datuknya, Amenhotep III mempunyai kaki yang bengkok dan menghidap penyakit pemberhentian darah ke kaki iaitu Kohler.

Penyakit genetik lain seperti skoliosis dan tulang belakang melengkung turut ditemui pada mumia-mumia lain daripada Dinasti ke-18 firaun.

Kalau sudah namanya penyakit genetik, tidak mustahil jika keturunan firaun terdahulu juga kaya penyakit seperti mereka.

Ujian DNA ke atas ratusan mumia itu juga mendapati beberapa mumia mempunyai persamaan penyakit iaitu diserang parasit malaria.

Sejarahwan perubatan dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Dr. Howard Markel berkata, sesetengah penyakit Raja Tut termasuk penyakit tulang terjadi akibat perkahwinan sumbang mahram.

"Kanak-kanak yang dilahirkan hasil perkahwinan sesama adik-beradik cenderung untuk menghadapi masalah genetik," lapor beliau dalam Journal of the American Medical Association (JAMA).

Sebenarnya, Raja Tut merupakan anak kepada firaun Akhenaten dengan adik kandung Akhenaten sendiri yang belum dikenal pasti. Wanita itu bukan isteri utama Akhenaten iaitu Permaisuri Nefertiti.

Sebelum ini juga terdapat spekulasi bahawa bapa Raja Tut ialah firaun Smenkhkare yang kurang dikenali.


Smenkhkare merupakan firaun yang memaksa seluruh rakyat Mesir menyembah tuhan matahari, Aten.

"Terdapat banyak kekeliruan tentang pewarisan takhta firaun dan mengetahui Tutankhamun merupakan pewaris langsung kini telah mengubah segalanya," kata Salina Ikram, seorang pakar mumia Universiti Amerika di Kaherah.

Mirip perempuan

Kajian terbaru itu turut mendedahkan bahawa dua janin yang bersemadi bersama Raja Tut mungkin merupakan anak-anaknya.

Ahli arkeologi Mesir, Zahi Hawass yang terlibat dalam kajian itu mengakui dia telah melakukan kesilapan selama ini apabila menentang ujian DNA dilakukan ke atas mumia-mumia.

"Saya tidak pernah terfikir yang kita akan memperoleh penemuan yang begitu hebat seperti ini," katanya.

Bagaimanapun, kajian tersebut menyangkal kenyataan sebelum ini yang mengatakan keluarga firaun mengalami penyakit pelik yang menyebabkannya berfizikal mirip perempuan.

Teori itu timbul daripada gaya artistik yang digambarkan pada patung-patung firaun yang mempunyai dada dan punggung yang menonjol serta wajah yang membujur.

"Nampaknya, Tutankhamun atau Akhenaten tidak mempunyai bentuk fizikal yang signifikan dengan teori itu," lapor saintis.

Projek DNA

Kini, pakar-pakar sedang berusaha untuk mengenal pasti siapakah adik Akhenaten yang merupakan ibu Raja Tut serta siapa pula isteri Raja Tut.

Projek DNA itu juga mahu mengenal pasti yang mana satukah mumia yang bernama Nefertiti, seorang permaisuri yang masyhur dengan kecantikannya.

"Belum terbongkar sepenuhnya, banyak lagi kajian yang perlu dilakukan," kata Hawass.

Pada masa ini, satu pameran firaun, Tutankhamun and the Golden Age of Pharaohs sedang berlangsung di San Francisco, California, Amerika Syarikat.

Di situ, mumia Raja Tut, mumia yang dipercayai ibunya dan neneknya, Permaisuri Tiye turut dipamerkan

Petikan www.kosmo.com.my(21/2/10)

Siasat nikah 'pelik' di IPTA

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 20 Feb. - Jabatan agama diminta menyiasat dakwaan tujuh 'pasangan pengantin' telah dinikahkan oleh rakan sekuliah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima laporan berhubung kegiatan tersebut dan menyerahkan kepada jabatan agama untuk meneliti kes itu terlebih dahulu.

"Sekiranya apa yang dilakukan oleh pelajar yang terlibat itu salah, kita akan ambil tindakan susulan," katanya pada sidang akhbar selepas program perasmian penutup Latihan Akuakultur Usahawan Siswazah di Kampung Kong Kong, Masai di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar tabloid melaporkan mengenai majlis pernikahan di sebuah IPTA di ibu negara di mana pengantin, saksi, wali, tetamu dan tok kadi terdiri daripada rakan sekuliah.

Mohamed Khaled meminta pihak pentadbiran universiti sentiasa memantau kegiatan penuntut mereka agar tidak melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang dan peraturan.

Dalam perkembangan lain, beliau menyarankan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti supaya mengikut langkah Universiti Malaya (UM) menubuhkan pusat keusahawanan di universiti masing-masing.

Katanya, Pusat Pembangunan Usahawan Siswazah Malaysia (Pusmal) telah berjaya melatih 20 graduan dari pelbagai institusi pengajian tinggi dalam projek ternakan ikan sangkar usahawan siswazah (Aquasympreneur).

"Kita berharap agar institusi pengajian tinggi yang lain mengikut jejak UM untuk melahirkan lebih banyak graduan dalam bidang keusahawanan.

"Kita mahu keusahawanan dijadikan sebagai kerjaya pilihan kepada graduan yang bercita-cita menjadi majikan bukannya pekerja," ujarnya.

Sumber:www.utusan.com.my2 (21/2/10)