22 February 2010

Catatan tergempar oleh pendatang baru blogger

Hari ini bersamaan 22/2/10 cukup bermakna buat saya.Sejak sekian lama mengidam dan melobi untuk mendapat tempat blog pengiklanan.

Saya amat bersyukur kerana akaun bersama Nuffnang diluluskan.Seronok bukan main lagi.Belum dapat duit lagi tu.Kalau dah dapat tak tahulah macam mana.Apa yang pasti saya akan panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT.Kata orang musuh jangan dicari rezeki jangan ditolak -)

Sebelum ini saya tak kenal dengan Nuffnang. Saya ada ternampak simbol yang pelik-pelik.Ada rasa teruja untuk klik pada simbol pelik.Akhirnya secara main-main terkliklah pulak link tersebut.Rupa-rupanya ia serupa macam google Adsense yang memberi pendapatan melalui iklan kepada para blogger baik luar atau tempatan.Biasa budak baru belajar.

Beberapa minggu yang lepas (belum sampai sebulan dalam dunia blogger) saya memang target untuk dapatkan tapak iklan dari Google Adsense.Sudah banyak kali apply sebanyak itu juga kena reject. Masalah bahasa Melayu jadi alasan, betulkah?Memang kedengaran dari luar Googgle Adsense memberi pendapatan pasif kepada si blogger.

Syarat penting untuk memikat jiwa Googgle Adsense ialah jumlah traffic singgah di blog.Lagi ramai lagi cerah.Tak apa lah.Nanti ada akaun blog yang berbayar dan glamer pasti saya dapat akaun nie...

Berbalik kepada cerita Nuffnang saya ingin menyaran kepada bakal blogger supaya belajar ilmu tentang website,copy dan paste html dan sebagainya.Untuk buka akaun tidak susah cuma nak dapat klik pada iklan itu saya tak jamin.Kalau boleh bina blog pakai yang percuma dulu sama ada blogspot atau wordpress.

Bila dah establish nanti dan ada income dari pengiklan cuba bertukar kepada berbayar.Sebab utama dapat ranking dalam Aleaxa.Apa pulak binatang nie. Aleaxa adalah satu sistem yang canggih untuk melihat ranking website atau blog anda.Kalau angka dah beribu dah sangat bagus.Hebat walaupun masih terlalu dari Google,Facebook atau Youtube.

Hukum dunia bermula bermula dari tak tahu ke tahu.Dari kecil menjadi besar.Kurang pandai menjadi mahir.Bila dah mahir selok belok kongsikan ilmu ini untuk bakal blogger yang berminat dan baru mencuba.Kalau jual ebook pun boleh asalkan berpatutan dengan nilai ilmu tersebut.Pada dasarnya ilmu yang kita perolehi ini dari sifat kita yang suka share ilmu.Petua untuk murah rezeki tidak kedekut ilmu.

Rasanya cukup dulu coretan ini.Luahan jiwa sudah lega.Selagi tak tulis blog fikiran boleh jam.Otak tak guna untuk berfikir.

Selamat berblogger.

Sehingga ke perhentian ini.Terima kasih.

Kahwin wanita Indonesia kena bayar RM170,000

JAKARTA: Rakyat asing yang ingin berkahwin dengan wanita Indonesia dikehendaki membayar wang pendahuluan sebanyak 500 juta rupiah (RM170,000), syarat baru diperkenalkan kerajaan republik itu untuk menjaga kebajikan wanitanya.

Wang itu yang perlu dibayar kepada sebuah bank Islam tempatan adalah sebagai jaminan nafkah kepada wanita terbabit sekiranya perkahwinan berkenaan berakhir dengan perceraian.

Syarat itu terkandung dalam Draf Rang Undang-Undang Perkahwinan yang sedang dirangka dan mendapat sokongan kuat Majlis Ulama Indonesia (MUI), lapor berita di laman web dan Jakarta Post.


Bagaimanapun, syarat itu hanya membabitkan lelaki asing yang mahu mengahwini wanita Indonesia dan tidak kepada lelaki tempatan yang mengahwini wanita asing. ‘Syarat baru’ perkahwinan itu menyusuli kontroversi beberapa hari lalu mengenai cadangan mengenakan denda atau penjara kepada pasangan tidak mendaftarkan diri selepas berkahwin atau lelaki berpoligami walaupun tiada larangan dalam Islam.

Perkahwinan campur antara wanita Indonesia dan lelaki asing terutama dari Asia Barat menjadi amalan biasa di negara itu, kebanyakannya membabitkan pelakon dan penyanyi pop.

Mengikut draf rang undang-undang itu, wang berkenaan dibayar kepada sebuah bank Islam, dan akan diberikan kepada wanita terbabit sekiranya suami mengabaikannya dan anak-anak atas sebab yang tidak dinyatakan.

Wang itu hanya boleh dikeluarkan selepas perceraian dan digunakan untuk memastikan kebajikan keluarga dan anak-anak wanita terbabit sehingga mereka berusia 21 tahun.

Bagaimanapun, undang-undang itu tidak diguna pakai bagi perkahwinan campur antara lelaki Indonesia dan wanita asing. Dalam kes itu, suami tidak diminta membayar wang dan isteri yang ditinggalkan terpaksa menanggung diri sendiri.

Ketua MUI, Amidan Kiai Hajj adalah antara penyokong kuat rang undang-undang itu kerana ia memastikan kebajikan isteri dan anak-anak selepas sesuatu kes cerai.

Pemimpin Islam itu menyatakan sokongannya berdasarkan beberapa insiden yang berlaku di Kalimantan.

Di wilayah itu, ramai rakyat Indonesia mengahwini pekerja asing dalam sektor pertanian dan industri yang akan kembali ke negara mereka jika hilang kerja dan meninggalkan keluarga tempatan tanpa sebarang nafkah. - Agensi



Sumber : www.bharian.com.my (22/2/10)

Kapal angkasa Endeavour siap sedia untuk mendarat

CAPE CANAVERAL (Florida): Kapal angkasa Endeavour yang membawa enam angkasawan diberi kebenaran untuk mendarat ke Florida.

Pusat kawalan memberitahu Komander George Zamka malam tadi bahawa keadaan cuaca semakin baik untuk membolehkan Endeavour mendarat di Stesen Angkasa Lepas Kennedy.

Endeavour dijadual mendarat jam 10.20 malam waktu tempatan (0230 GMT).

Awal semalam, pusat kawalan berdepan dengan kebimbangan untuk membenarkan Endeavour mendarat di bumi selepas awan tebal dan kemungkinan hujan lebat.

Angkasawan melengkapkan misi dua minggu ke Pusat Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). - AFP

Sumber : www.bharian.com.my (22/2/10)

Puntung rokok jadi punca

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

PEKAN 21 Feb. - Hanya kerana sebatang rokok, lebih 20 hektar kawasan hutan di sini musnah terbakar.Kejadian itu berlaku di Kampung Cenderawasih di Jalan Kuantan-Nenasi di sini dipercayai berpunca daripada kecuaian seorang perokok tegar yang membuang puntung rokok tanpa memikirkan kesannya.

Lebih memburukkan keadaan, fenomena cuaca panas ketika ini memaksa Balai Bomba dan Penyelamat Pekan berkampung di tepi jalan itu bagi mengawal keadaan sejak dua minggu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin berkata, sejak 8 Februari lalu hingga kini pihaknya bertungkus-lumus mengawal api di kawasan berkenaan.

"Dalam keadaan cuaca yang panas dan angin kencang dari pantai berhampiran, kami terpaksa berjaga-jaga kerana ada individu tidak bertanggungjawab yang membuang puntung rokok merata-rata.

"Kebakaran di hutan gambut ini pula kadangkala marak dan hanya berlaku di kelompok tertentu sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang hutan berhampiran pantai Sungai Miang di sini mendapati kelihatan kesan-kesan terbakar yang melibatkan pokok besar selain kawasan belukar.

Malah, kira-kira 100 meter dari pencawang elektrik di tepi laluan itu kelihatan api marak namun dapat dikawal dengan pantas oleh pasukan bomba.

Beberapa laluan mengalami masalah penglihatan kerana dipenuhi asap tebal berpunca daripada kebakaran hutan berdekatan.

Menurut Sheikh Hassan, pihaknya terpaksa mengambil masa lapan jam sehari bagi mengawal kebakaran di kawasan kampung berkenaan sejak dua minggu lalu.

"Kadangkala kebakaran berlaku berulang kali dan dalam satu masa berlaku beberapa kebakaran di kawasan berlainan.

"Faktor tiada sumber air dan jarak yang jauh dari sumber air menimbulkan kesulitan kepada pihak bomba," jelasnya.

Beliau memohon kerjasama orang ramai supaya tidak membuang puntung rokok sewenang-wenangnya terutama ketika musim kemarau dan berangin.

"Penduduk berhampiran dinasihati supaya tidak melakukan proses tebas dan bakar secara terbuka untuk tujuan pertanian di kawasan berkenaan," ujarnya.

sumber : www.utusan.com.my

Hilang nilai kemanusiaan

Oleh Zuhayati Yazid

Manusia semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan akal dalam membuat sebarang tindakan.Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan daripada perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah.Sikap seperti itu yang mendorong kepada pelbagai gejala sosial termasuk buang bayi.

Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah A. Ghani menyifatkan, gejala pembuangan bayi ini berlaku adalah kerana kerapuhan pegangan agama remaja dan juga kekurangan perhatian serta pemantauan daripada ibu bapa.

"Apabila membincangkan masalah pembuangan bayi, ia turut memperlihatkan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan tahap keimanan seseorang itu.

"Malah ia seakan-akan tidak tahu hukum hakam mengenai dosa dan pahala,'' katanya serius ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian pembuangan bayi semakin menular di kalangan remaja kerana mereka terdedah kepada pelbagai faktor sehinggakan keadaan menjadi lebih parah.

"Antaranya kerana faktor pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, hiburan keterlaluan, persekitaran institusi kekeluargaan yang celaru, tiada kawalan diri, longgar pegangan agama serta pengaruh Internet,'' ujarnya lagi.

Malah keadaan menjadi lebih parah apabila kurang pemantauan dan juga perhatian ibu bapa terhadap aktiviti anak.

"Institusi keluarga itu penting dalam membentuk jati diri anak-anak, mana mungkin keluarga yang sering bergaduh serta berpecah belah akan melahirkan anak-anak yang bertamadun dan juga berakhlak mulia.

"Keadaan ini penting kerana karakter anak-anak bermula daripada rumah, jika suasana rumah yang celaru akan menimbulkan suasana tidak seronok berada di rumah.

"Bermula dari situ, mereka akan mencari identiti sendiri melalui keseronokan di luar rumah bersama rakan-rakan, apabila sudah hilang nilai moral mereka sanggup buat apa saja sehingga lahir anak luar nikah,'' terangnya lagi.

Beliau yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman pengurusan kaunseling keluarga memberitahu, faktor terlalu bebas dan kurang pemantauan juga membuatkan remaja mudah terjerumus kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

"Dunia tanpa sempadan dengan kemudahan komunikasi dan melayari internet membuka seluas-luas pergaulan mereka,'' katanya lagi

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Sajaratulnisah Othman pula menyifatkan remaja yang sanggup membuang bayi adalah mereka yang tertekan dan tersempit dengan keadaan.

Hal ini berlaku hasil perbuatan perhubungan terlarang itu sehinggakan mereka mengandung, keadaan ini menyebabkan mereka semakin tertekan sehingga sanggup membuang bayi yang di kandung ekoran tiada tempat yang sewajarnya untuk mereka berlindung.

Jelasnya, banyak kajian menunjukkan kehamilan di luar nikah berpunca daripada keseronokan hidup yang berpaksikan kepada kepuasan nafsu semata-mata.

Malah keadaan yang tertekan juga membuatkan mereka mengambil keputusan untuk membuang anak itu di merata-rata tempat.

Lebih menyedihkan lagi, kebanyakan bayi yang dibuang rata-ratanya adalah bangsa Melayu yang tentunya beragama Islam.

Sajaratulnisah memberitahu, mereka yang membuang anak itu juga seakan sudah tertanam di fikiran, sekiranya buang anak pastinya akan ada orang yang akan mengambil dan menjaga.

"Di negara kita, jika sesiapa yang menemui anak baru lahir akan ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat, fikiran ini menjadikan mereka dengan mudah melakukan tanpa rasa bersalah dan berdosa.

"Justeru itu, masyarakat perlu mengubah minda dengan lebih positif, seharusnya berikan mereka pendidikan agar kembali ke jalan benar.

"Pimpinlah mereka ini supaya tidak lagi tersasar ke jalan gelap, hiasilah mereka ini dengan ajaran agama supaya kembali ke jalan yang benar,'' katanya lagi.

Selain itu tegasnya lagi peranan ibu bapa juga harus diperketatkan lagi, biarpun sibuk bekerja mencari nafkah untuk keluarga namun tanggungjawab sebagai orang tua tidak harus di abaikan.

"Kenali rakan-rakan anak kita dan membuat pemantauan dengan siapa mereka berkawan agar dapat mencegah mereka daripada perbuatan yang tidak bermanfaat.


Sumber : www.utusan.com.my (22/2/10)

Gadis dibelasah, 'diculik' 11 jam


Oleh SHAMARUDDIN SAIDIN
pengarang@utusan.com.my

SEREMBAN 21 Feb. - Akibat kecewa cintanya ditolak, seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu pejabat sanggup membelasah kerani wanita di tempat kerjanya selain melarikan mangsa selama 11 jam dari rumah sewanya di Paroi Jaya, di sini baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku pada 16 Februari lalu itu mengakibatkan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nor, 21, lebam di bahagian muka dan kepala selain terpaksa menerima rawatan di hospital.

Mangsa mendakwa, dia turut mengalami trauma selepas kejadian itu apabila dibelasah tanpa henti oleh lelaki itu, sepanjang dibawa menaiki kereta dari rumah sewanya ke kampung pembantu pejabat berkenaan di Tampin.

Nor yang bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan di sini menceritakan pengalaman ngeri itu ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, insiden tersebut bermula apabila lelaki itu yang berusia 27 tahun datang ke rumah sewanya di Paroi Jaya kira-kira pukul 11.30 malam pada 16 Februari lalu menaiki sebuah kereta Proton Wira.

"Saya keluar untuk berjumpa dengannya yang ketika itu berdiri di luar pintu pagar. Tiba-tiba, dia terus menumbuk muka saya sehingga menyebabkan saya terjatuh.

"Selepas itu, saya cuba bangun dan sambil menangis bertanyakan kenapa dia memukul saya," katanya.

Menurut Nor, lelaki itu terus memarahinya kerana mendakwa dia telah menolak cinta lelaki itu sambil terus menumbuk mukanya beberapa kali lagi.

Dia berkata, dalam keadaan muka berlumuran darah, lelaki itu kemudian menarik dan menolaknya masuk ke dalam kereta sebelum dipaksa duduk di tempat letak kaki sebelah pemandu.

"Lelaki itu terus memecut keretanya ke lokasi yang saya tidak ketahui dan terus memarahi saya kerana menolak cintanya.

"Sambil menangis, saya merayu supaya dilepaskan tetapi tanpa sebarang belas kasihan lelaki itu terus menumbuk kepala saya bertubi-tubi sehingga tangan kanannya patah," ujarnya.

Kerana panik melihat mangsa yang semakin tidak bermaya, suspek kemudian membawa mangsa ke rumah keluarganya di Tampin kira-kira 80 kilometer dari sini.

Tambah Nor, apabila sampai ke rumah keluarga lelaki itu, suspek mengugut supaya dia memberitahu ibunya bahawa kecederaan yang dialami itu akibat kemalangan motosikal.

"Lelaki itu kemudian meminta saya masuk ke dalam sebuah bilik dan menyuruh saya berehat sementara dia tidur di ruang tamu.

"Pada pagi keesokan, ketika lelaki itu pergi ke hospital untuk merawat tangannya yang patah, saya terus melarikan diri dari rumah berkenaan," ujarnya.

Menurutnya, dia terpaksa bersembunyi di sebalik tembok yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah itu sebelum menghubungi rakannya untuk meminta bantuan.

"Kira-kira sejam kemudian, rakan saya datang menyelamatkan saya dan terus ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin yang mengesahkan kejadian itu memberitahu bahawa suspek sudah ditahan kelmarin.

Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

sumber: www.utusan.com.my (22/2/10)